Pengenalan Kepada Pokok Sentang

Malaysia antara satu dari negara mega biodiversity di dunia yang memiliki ribuan species heiwan dan tumbuhan. Salah satu tumbuhan natif dari Malaysia adalah Sentang dengan nama saintifik Azadirachta excelsa yang tergolong dalam keluarga Malieaceae. Selain Sentang, pokok ini dikenali sebagai Limpaga atau Rang-gu di Sabah dan Sarawak. 

Pokok Sentang dikategorikan sebagai salah satu pokok yang mempunyai kitaran pertumbuhan yang cepat (fast growing species), oleh sebab itu, pokok sentang adalah salah satu species yang dianjurkan untuk ditanam pada hutan ladang oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Pokok sentang ini biasanya tumbuh di sekitar kawasan tanah pamah hingga ke kawasan beraltitud 350 m yang mempunyai saluran air yang tidak bertakung. Dari kejauhan, morfologi Pokok Sentang terlihat seperti pokok Petai. Namun kulit batangnya yang menunjukkan ciri-ciri merekah dengan daun yang tersusun seperti ranting yang berpelepah membezakan dua pohon tersebut. Masyarakat di perkampungan memanfaatkan pucuk daun Sentang sebagai ulam-ulaman walaupun rasanya sedikit pahit. Batang pokok Sentang pula bersifat lurus dan kelihatan merekah dan ketinggiannya boleh mencecah hampir ke 50 m tanpa banir.  Pokok sentang ini boleh dilihat ditanam di hutan ladang mahupun ditanam oleh penduduk kampung sebagai pokok yang membantu menghalang angin kuat dari merosakkan tanaman yang lebih kecil. 

Pada awalnya pokok Sentang tidak mendapat menarik sebarang perhatian dari penduduk awam mahupun dari agensi kerajaan. Selepas diperkenalkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sebagai spesies tanaman hutan ladang, agensi kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan pekebun kecil mula menubuhkan perladangan pokok Sentang dalam skala kecil mahupun besar. 

Pokok yang sudah bersedia untuk ditebang mempunyai nilai pasaran tinggi kerana kayu balak ini jatuh dalam kategori kayu sederhana keras yang mudah diurus dan dikerjakan dengan pelbagai jenis mesin kayu. Pada umumnya, kayu sentang digunakan sebagai bahan mentah untuk pembuatan venir, papan partikel, pembinaan rumah, dan perabot. Selain itu, kayu Sentang juga digunakan sebagai bahan mentah dalam industri pembuatan pulpa dan kertas. 

Dr Andi Hermawan